Wayang Dinobat Filem Terbaik ASK2009

Sunday, December 06, 2009 marina 0 Comments


Bertemakan Hikayat 1001 Malam, acara kemuncak Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi menyaksikan filem di bawah produksi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Wayang, menjadi Filem Terbaik ASK09.


Filem Wayang turut membolot kategori Pengarah Terbaik (Filem) yang dimenangi Profesor Dr Hatta Azad Khan. Ia disusuli dengan kemenangan besar 2 lagi pelakon filem tersebut iaitu Eman Manan untuk Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) dan Zul Huzaimy bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem).


Pelakon Wanita Terbaik (Filem) dimenangi oleh Liyana Jasmay melalui Kami The Movie manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) pula menjadi milik Ida Nerina menerusi Susuk. Namun, hanya Liyana sahaja hadir menerima trofi malam tadi.

Kategori Drama TV Terbaik pula dimemenangi oleh Tersasar Di Jalanmu arahan Erma Fatima. Menerusi drama ini, Rosnah Mat Aris membolot kategori Pelakon Wanita Terbaik (Drama) dan Norish Ismail pula Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama).


"Saya dah rindu nak naik pentas ASK. Alhamdulillah, ribuan terima kasih kepada pelakon, krew produksi dan semua yang menjayakan drama ini. Paling utama buat warga Lorong Haji Taib (kawasan hitam yang sinonim dengan kegiatan pelacuran). Drama ini dibuat khas buat mereka," kata Erma ketika berucap.


Bagi kategori Drama Rantaian Terbaik, ia dimenangi oleh siri Kekasih Ku Seru arahan Kabir Bhatia bagi siaran TV3.


Pelakon Que Haidar yang hadir bersama isteri, Linda Jasmine terlalu gembira apabila merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik melalui drama Terlerai Takbir Kasih. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama) pula dimenangi oleh pelakon 'otai' Ahmad Tarmimi Siregar dalam drama Tak Serupa Tapi Sama terbitan Hessa Creative Sdn Bhd.


ASK2009 turut memperkenalkan anugerah istimewa yang ditaja Pantene iaitu Anugerah Yasmin Ahmad. Anugerah yang disampaikan kakak Allahyarham Yasmin iaitu Datin Orked Ahmad yang buat pertama kali dimenangi Jaclyn Victor.


"Terima kasih. I have no words," ucap Jaclyn dalam nada sebak.


Malam gemerlapan itu dihoskan oleh Afdlin Shauki dan Fara Fauzana (yang baru pulih dari pembedahan lutut). Manakala persembahan ASK2009 pula diserikan dengan persembahan pembukaan dari One Nation Emcees menerusi lagu Seribu Satu Malam. Ia diikuti dengan nyanyian duet dari Misha Omar & Bob (Cinta Adam Dan Hawa), Tia Jinbara & Hattan (Mantera Semerah Padi), Aizat (Pergi) dan gandingan Lan The Typewriter, Jaclyn Victor dan Black (Sempurna).


Persembahan penutup pula dipukau dengan persembahan warna-warni dari Dato' Siti Nurhaliza menerusi lagu medley Balqis, Nirmala dan Ku Percaya Ada Cinta. Difahamkan, sepasang mata yang menghiasi konsep ASK2009 sendiri adalah mata Siti yang diambil dari kulit album Lentera Timur.



Keputusan penuh ASK2009:
1. Lakon layar Terbaik: Farizal – Kami The Movie
2. Lakon  TV Terbaik: Erma Fatima -Tersasar Di Jalanmu (RTM)
3. Anugerah Videografi Terbaik: Tersasar Di Jalanmu
4. Rancangan Laporan Khas/ Berita Terbaik: Buletin Utama- Air Najis (TV3)
5. Rancangan Dokumentari/ Majalah Terbaik: Majalah 3 - Gaza (TV3)
6. Rancangan Hiburan Terbaik: Kemuncak Sehati Berdansa 2 - Minggu 10 (ASTRO)
7. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem: Ida Nerina- Susuk
8. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem: Zul Huzaimi- Wayang
9. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama: Norish Ismail - Tersasar Di Jalanmu
10. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama: Ahmad Tarmimi Siregar- Tak Serupa Tapi  Sama
11. Drama Komedi Terbaik: Datin Wan Abe
12. Rancangan Realiti Terbaik: Gadis Melayu Episod Akhir
13. Rancangan Bual Bicara Terbaik: AC Di Sini (ASTRO)
14. Rancangan Muzikal Terbaik: Anugerah Juara Lagu 23 (TV3)
15. Pelakon Wanita Terbaik Filem: Liyana Jasmay - Kami  The Movie
16. Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Eman Manan - Wayang
17. Pelakon Wanita Terbaik Drama: Rosnah Mat Aris- Tersasar Di Jalanmu
18. Pelakon Lelaki Terbaik Drama: Que Haidar- Terlerai Takbir Kasih
19. Pengarah Terbaik  Filem: Prof Dr Hatta Azad Khan- Wayang
20. Pengarah Terbaik Drama: Erma Fatima - Tersasar Di Jalanmu
21. Anugerah Yasmin Ahmad: Jaclyn Victor
22. Drama Rantaian Terbaik: Kekasih Ku Seru (TV3)
23. Filem Terbaik: Wayang
24. Drama Terbaik: Tersasar Di Jalanmu

0 ayat cinta: