The Princess and The Frog

Wednesday, December 16, 2009 marina 0 Comments


Filem:
The Princess and The Frog

Penyumbang Suara:
Anika Noni Rose, Keith David, Jenifer Lewis dan John Goodman

Genre:
Animasi / Pengembaraan

Ulasan:
Setiap kali tiba musim cuti persekolahan, pasti ada filem animasi yang mengambil tempat di pawagam. Kali ini, giliran ‘Princess & Frog’ mengambil giliran. Filem animasi yang diarahkan oleh Ron Clements and John Musker ini agak istimewa kerana ia kembali kepada lukisan tangan setelah Walt Disney tidak menggunakannya untuk beberapa lama.

Menurut penerbit eksekutif filem ini, John Lasseter, pihak produksi kembali kepada cara lama kerana kisah kali ini membawa kepada kisah dongeng klasik dan muzikal. Sentuhan daripada pengarah yang pernah menghasilkan ‘The Little Mermaid’ dan ‘Aladdin’ ini ternyata cukup memikat. ‘The Princess And The Frog’ selain mempunyai jalan cerita cukup menarik, ia juga disertai dengan lagu-lagu yang menyeronokkan.

Malah, buat pertama kalinya puteri raja dalam kisah dogeng ini menampilkan gadis kulit hitam. Mungkin kerana animasi ini mengambil New Orleans sebagai latar tempat. Begitu juga dengan watak Putera Naveen. Dia bukan seorang putera yang suka bermain pedang, sebaliknya sangat meminati muzik. Boleh dikatakan hampir setiap masa dia ingin menyanyi.

Jika anda rasa anda sudah tahu jalan cerita filem ini, mungkin anda tersilap. Si Katak dalam filem ini  tidak akan bertukar menjadi Putera Raja sebaik dicium oleh Tiana, sebaliknya Tiana yang berubah menjadi katak.

Filem animasi ke-49 daripada Walt Disney ini mengisahkan bagaimana Putera Naveen bersama Tiana yang berubah menjadi katak berusaha mencari Mama Odie untuk kembali sebagai manusia. Dalam pengembaraannya itu, mereka menemui Sang Buaya dan Kelip-Kelip yang sudi membantu mereka mencari jalan yang betul. Setelah melalui banyak halangan, mereka akhirnya bertemu Mama Odie, tetapi masih tidak berjaya memecahkan sumpahan terhadap mereka.

Kecewa dengan apa yang berlaku, Putera Naveen dan Tiana kembali ke bandar New Orleans bagi menemui Puteri Raja yang patut dikahwininya. Bagi mereka hanya itu jalan terakhir, walaupun masing-masing sudah mencintai satu sama lain. Bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangka. Keadaan menjadi tambah rumit apabila Tania berasa dirinya telah tertipu oleh Putera Naveen.

Berjayakah Putera Naveen dan Tiana kembali sebagai manusia? Jawapannya hanya boleh diperolehi jika anda menyaksikan kesudahannya di pawagam. ‘The Princess And The Frog’ sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Selain daripada mengetengahkan tema percintaan, filem ini juga memberi inspirasi kepada penonton supaya tidak mudah berputus asa dalam mencapai cita-cita.

Info:
Sebelum ini Pixar pernah menerbitkan animasi 3D, ‘The Frog Princess’ yang berlatarkan kehidupan masyarakat Chicago pada tahun 1930-an.

0 ayat cinta: