Dynaz Ambil Positif Peristiwa Pahit Lalu

Monday, December 07, 2009 marina 0 Comments


Bila Dynaz, nama penuh Wan Intan Edrinaz Wan Mokhtar, disahkan mengandung buat kali kedua, bercampur baur perasaannya. Meskipun gembira begitu cepat dikurniakan rezeki untuk menimang anak, tetapi isteri Mohd Hafizy Hafiz ini mengakui, ada juga perasaan takut, lebih-lebih lagi selepas keguguran kandungan pertamanya pada April lalu.

"Sebab itu kali ini, saya tak mahu merancang apa-apa. Bagi saya, semua sudah tertulis. Apa yang berlaku dulu bukan satu bala sebaliknya ia menguatkan lagi diri saya. Saya ambilnya secara positif. 'I don't want to go crazy or stressed out worrying about this and that.' Saya mahu menikmati pengalaman ini," katanya yang kelihatan ceria dan berseri-seri bila ditemui semalam selepas pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009.

Mengakui lebih berhati-hati dengan kandungannya, dedah Dynaz, begitu juga dengan orang-orang di sekelilingnya.

"Kalau di lokasi, mereka akan ingatkan saya jangan berlari. Di Facebook, selalu juga peminat nasihatkan jangan buat itu, ini. 'I'm okay with the attention dan care.' Saya cuba ikut cakap mereka. Tapi saya memang seorang yang aktif. Susah kalau nak saya duduk saja di rumah. Doktor pun ada nasihatkan, kalau saya tiba-tiba ubah cara kehidupan saya, bimbang juga jika badan saya tak biasa. Sebaiknya, saya doakan yang terbaik dan jalani hidup seperti biasa."

Mengikut pantang orang Melayu dan Cina
Kongsinya lagi, dari segi pantang, ketika kehamilan pertama dulu pun, dia memang menjaga semua pantang larang. Menariknya, pantang yang diikuti bukan saja pantang orang Melayu.

"Tengok saja saya ni macam moden tapi bab pantang ini, saya sangat tradisional. Saya betul-betul jaga. Bukan saja pantang orang Melayu tapi orang Cina juga. Ada juga beberapa kawan India yang menceritakan pantang dalam masyarakat mereka tapi tengoklah, kalau tak penting atau tak relevan, saya tak ikut."

Tambah pelakon berusia 26 tahun yang sudah lima bulan hamil ini, pengalaman mengandung kali ini berbeza sekali dari yang sebelumnya. Selain tidak mengalami keadaan muntah, pengambilan makanan juga kurang.

"Bila masuk trimester kedua baru saya mula makan. Yang menjadi kegemaran saya, Snickers chocolate bar. Tapi kali ini, memang takde masalah (dengan kehamilannya). Nak kerja pun, 'no problem'. Cuma waktu petang tu, saya perlu tidur sekejap," katanya yang sedang menjalani penggambaran untuk drama 'Di Bawah Ketiak Isteri 2', dijadualkan untuk siaran pada Januari depan di Astro Prima.

"Ada dua, tiga lagi episod untuk dihabiskan. Saya sudah berjanji dengan suami akan 'chill out' selepas itu. Kami akan bercuti selama dua minggu di Melbourne (Australia) untuk sambutan Tahun Baru, nak luangkan masa bersama sebelum kehadiran 'baby'.

"Kalau dah bosan tu, mungkin saya akan kerja. Lagipun, pihak penerbit 'Di Bawah Ketiak Isteri 2' ada beritahu nak sambung watak saya, sama ada sebagai perempuan mengandung ke, tak tahulah. Saya kena tunggu keputusan mereka.

"Tapi tengoklah macam mana dulu sebab saya akan sibuk juga dengan urusan pindah rumah dan butik. Ditambah pula, saya dan ibu ada perancangan membuka butik bersama. Mungkin kami akan buka butik itu di sini atau di luar negara seperti Paris."

Tak selesa berat badan bertambah
Sejak mengandung, berat badan Dynaz sudah mencecah 64kg. Kongsinya jujur, sebagai seorang model, dia tidak berapa selesa dengan peningkatan berat badannya. Sebelum ini ketika mengandung anak pertama, adakalanya kerana sudah terbiasa, dipakai kasut bertumit tinggi dan berjalan seperti di 'catwalk'.

"Ia (pertambahan berat badan) satu isu yang besar tapi seperti sebelum ini, selepas saja saya habis pantang, hari-hari saya ke gim. Saya akan cuba sedaya-upaya untuk kembali ke bentuk asal badan saya," ujar Dynaz yang dijadualkan bersalin pada 20 April 2010.

Tentang persiapan menyambut bakal cahaya matanya, anak kelahiran Petaling Jaya ini memberitahu tiada persiapan yang akan dilakukan sehingga selepas kandungannya memasuki lapan bulan. Pantang larang semasa mengandung juga tidak mengalakkan ibu bapa membuat persiapan terlalu awal.

"Sebenarnya, kami masih lagi menyimpan barangan bayi yang telah dihadiahkan kepada kami sebelum ini. Jadi, tak perlulah nak membazir membeli yang lain," jawabnya mengakhiri perbualan.

0 ayat cinta: