1001 Gaya Padang Pasir ASK2009

Wednesday, December 16, 2009 marina 0 Comments


Selepas majlis persandingan gala Raja SMS, Mawi bersama Ekin yang menonjolkan tema Hikayat 1001 Malam tahun lalu, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009), baru-baru ini juga enggan ketinggalan menggunakan tema serupa.


Bagaikan berada di Timur Tengah, rata-rata tetamu yang hadir tampak begitu gah dengan persalinan indah berwarna-warni serta berkilauan, malah tidak ketinggalan juga ada yang tampak canggung kerana tidak mengikut tema majlis.


Laluan permaidani merah ASK2009 bukan saja diperhebatkan dengan penampilan seorang demi seorang selebriti yang mendapat perhatian ratusan lensa kamera. Sebaliknya Hikayat 1001 Malam disemarakkan lagi dengan kemunculan beberapa pasangan selebriti yang hadir persis raja dan permaisuri padang pasir.

Antara pasangan yang menarik perhatian seperti Que Haidar bersama Linda Jasmine, Fouziah Gous & Iqram Dinzly, Zamarul Hisham & Linda Rafar, Lisdawati & Fauzi Nawawi, Ery Putra & Lana Nordin, Fiz Fairuz & Almy Nadia serta Nabil & Irma Hasmie.


Linda Jasmine yang berkulit putih itu memang anggun dalam setiap peragaan namun suaminya, Que, hanya memilih fesyen moden tetapi diserlahkan dengan celak mata. Mereka tiga beranak lebih tertarik memilih rona serba hitam.  Linda menyerlah dengan kaftan labuh dari Kapas bersama hiasan kepala. Satu gandingan yang tampak moden dan mewah.


Lisdawati yang masih dalam pantang juga tidak mahu ketinggalan melaram dengan pilihan warna hijau mempesona. Fauzi kelihatan menawan dalam gandingan fesyen Parsi-Arab.


Penampilan dua sahabat baik, Fouziah dan Iqram sentiasa tidak mengecewakan. Jika Fouziah lebih selesa menyerlahkan sedikit bahagian bahunya dengan persalinan rekaan Wan Huzairil, Iqram pula tampil segak berserban sebagai jejaka idaman ramai.


Rona jingga memberi kontras cukup berjaya buat Linda Rafar dan aktor lelaki Fiz Fairuz. Berbanding Fiz yang segak lengkap bersama tarbus emas, apatah lagi di sebelahnya ditemani si cantik manis, Almy Nadia.


Fesyen sedang meningkat naik, Amir Luqman cukup bernasib baik kerana berpeluang menggunakan balapan ASK2009 untuk menterjemahkan hasil rekaan muslimah Timur Tengah kepada 3 aktres popular - Lisa Surihani, Nabila Huda dan Intan Ladyana.


Panorama padang pasir ASK2009 juga turut disensasikan dengan penampilan hangat aktres Rozita Che Wan yang berpakaian bagaikan wanita Gipsi nakal.


Namun tiada siapa yang dapat menandingi kejelitaan Datin Ziela Jalil, diiringi anak-anaknya. Meskipun memilih jubah hitam, tapi pelakon dan produser ini bijak memilih perincian elemen harimau kumbang disepadankan dengan kasut dan tas tangan rekaan pereka antarabangsa, Giuseppe Zannoti dari elemen safari itu.


Kepada yang kurang arif untuk menyepadankan tema Hikayat 1001 Malam, ini adalah sedikit panduan untuk tidak lari dari tema berkenaan. Kepada si hawa, suaikan anting-anting chandelier bermotifkan Mediterranean atau bersaiz besar bersama skaf kepala dari fabrik cifon.


Mungkin rantai emas sarat berobjek bulat (duit syiling) boleh menghiasi persalinan anda di pinggul, dada atau pergelangan tangan. Si jejaka, padankan kemeja atau sut dengan lilitan kain serban bermotif petak di leher. Atau jika berani tambahkan celak di bawah mata. Pasti tiada yang akan memandang semacam penampilan anda

0 ayat cinta: