SB3: Isma & Zul Nafi Guna Bomoh!

Sunday, December 13, 2009 marina 0 Comments


Pasangan Sehati Berdansa 3 (SB3), Isma & Zul, menafikan sekeras-kerasnya mereka menggunakan khidmat bomoh untuk mempertahankan kedudukan serta aura mereka dalam pertandingan realiti itu sekali gus menarik pengundi.


Bercakap kepada murai.com.my semalam, Zul dan Isma kesal gosip itu semakin menular dan tidak tahu siapakah yang bertanggungjawab menyebarkannya.


Mereka menjelaskan gosip tersebut tiba-tiba menimpanya selepas salah satu pasangan lain mendakwa ternampak benda ganjil dan terasa pelik ketika pasangan itu berlatih.


"Saya difahamkan cerita itu timbul selepas satu pasangan yang telah tersingkir kononnya nampak sesuatu yang ganjil ketika sesi latihan. Dia mendakwa ada ternampak nenek tua dan bilik latihan menjadi gelap. Dia mendakwa kejadian itu akhirnya membuatkan dia terlupa langkah tarian dan mula bercerita kepada pasangan lain



"Kami kesal kerana gosip itu telah tersebar di akhbar dan peminat mula menuduh kami puncanya melalui komen-komen tidak berasas di dalam internet.


"Hairan kenapa kami pula dituduh bermain bomoh dan ilmu hitam sedangkan ini adalah pertandingan untuk mencari dana kebajikan kepada mereka yang memerlukan. Gosip ini kami sudah dengar ketika minggu ke-3 dan ke-4 pertandingan ini lagi.


"Kami harap hentikanlah tuduh menuduh ini dan jangan bercakap tanpa bukti yang sahih," kata Zul atau Zulkefli Majid, 37.


Menurut Isma, 30, pula beliau menganggap gosip sedemikian dalah tindakan orang yang tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin mengganggu konsentrasi mereka.


"Mereka telah membuat fitnah yang tidak berasas. Bagi Isma, gosip ini mengarut dan paling kelakar didengar setakat ini. Tapi kami langsung tidak menghiraukannya kerana kami mempunyai misi yang lebih penting iaitu melakukan persembahan yang terbaik pada setiap minggu," kata Isma.


Isma dan Zul yang kini berjaya bertahan hingga minggu ke-8, turut menjelaskan mereka tidak meletakkan keyakinan yang tinggi untuk sampai ke peringkat final. Apa yang penting bagi mereka ialah memberikan persembahan yang terbaik pada setiap minggu.


Isma & Zul juga bersama 4 pasangan lain iaitu Oshin & Firdaus, Sazzy Falak & Nazril Idrus, Dira & Ash serta Syed Hussein & Noor Diyana kini meneruskan saingan dalam pentas SB3.

0 ayat cinta: