Tuah Liyana Jasmay

Tuesday, December 08, 2009 marina 0 Comments


Selepas meraih kemenangan di Festival Filem Malaysia ke-22 di mana dia membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik untuk lakonannya dalam 'Papadom', tuah Liyana Jasmay berterusan di Anugerah Skrin malam tadi apabila dia berjaya menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem untuk 'KAMI The Movie'.

"Saya tak 'expect' langsung sebab 'Papadom' tak tercalon dan di FFM, 'KAMI' bukan dalam Top 5. Tapi ini mungkin rezeki 'KAMI', mungkin rahmat tahun ini dan berkat dari doa ibu bapa dan keluarga," kata Nana.

Kongsinya, dia seronok dapat turut sama dalam projek 'KAMI' yang digambarkannya sebagai sebuah karya yang lebih 'street' dan watak yang dimainkan juga jarang diperolehi, seorang budak perempuan kasar yang suka menulis.

"Berlainan dengan watak dalam 'Papadom' yang lebih dekat dengan diri saya, seorang anak yang bakal ke kolej, yang ingin bebas dari ibu bapanya."

Ditanya jika dia terasa tertekan untuk memastikan kejayaan yang sama buat semua watak lakonannya selepas ini, memandangkan sudah dua kali berturut-turut dinobatkan sebagai pelakon wanita terbaik, jawab Nana, "Setiap kali saya berlakon, saya mesti ingin buat yang terbaik. Saya perlu fikirkan tentang keperluan pengarah dan penulis skrip, kena pastikan kerja yang saya hasilkan berkualiti dan ada peningkatan."

Ceritanya, tahun depan ada watak bagus yang menantinya. Selain 'Papadom 2', ada juga sebuah projek dengan seorang pengarah indie yang enggan didedahkan lagi identitinya.

"'He's good' tapi tak boleh 'reveal' lagi siapa dia. Kami sudah berbincang tapi belum lagi tandatangani kontrak. Sekarang ini sudah ramai pengarah indie yang mula memasuki aliran 'mainstream', menghasilkan karya yang lebih komersil tetapi masih jarang diarahkan oleh kebanyakan pengarah lain," ujarnya.

0 ayat cinta: