Remy Tidak Ambil Kesempatan

Thursday, December 10, 2009 marina 0 Comments


Remy Ishak atau nama sebenar Mohammad Zalimei bin Ishak kini semakin menjadi rebutan ramai. Secara tiba-tiba namanya meniti dari bibir ke bibir. Siapa sangka pelakon yang pernah mengundang kontroversi kerana membintangi sebuah filem pendek tentang ‘gay’ ini mula mendapat tempat di hati peminat. Tidak keterlaluan jika dikatakan Remy sekarang ini adalah ‘Hero Idaman Malaya’.

Penampilannya dalam drama bersiri popular ‘Nur Kasih’ memberi impak yang cukup besar. Kalau tidak percaya cuba tanya beberapa rakan anda. Adakah mereka meminati Remy? Dalam 10 orang, tentu lapan daripadanya memberi jawapan positif. Lakonan Remy dalam ‘Nur Kasih’ memang harus diberi pujian. Remy mempamerkan lakonan penuh penghayatan. Mungkin atas sebab itulah dia diberi peluang memegang watak Mansor Adabi dalam pementasan terbaru Erma Fatima, ‘Natrah’.

Ini adalah percubaan pertama Remy di pentas teater. Bukan itu sahaja, sebagai Mansor Adabi, Remy telah digandingkan dengan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21, Maya Karin. Pencapaian ini pasti membanggakan Remy kerana suatu ketika dahulu dia hanya bertindak sebagai pelakon tambahan ketika membintangi filem ‘Anak Halal’ yang menampilkan Maya sebagai heroin.

Memandangkan ‘Natrah’ adalah teater pertama Remy, banyaklah mata yang tertumpu kepadanya. Masing-masing mengharapkan Remy melakukan yang terbaik. Inilah peluang untuk dia menonjolkan diri dan membuktikan kepada semua yang dia memang berbakat. Selain itu, GUA juga berpendapat, peluang yang ada ini seharusnya digunakan oleh Remy untuk mencuri perhatian pengarah atau penerbit di luar sana supaya menawarkan watak hero filem kepadanya.

Namun, lain pula pendapat Remy. Dia yang ditemui selepas pementasan ‘Natrah’ baru-baru ini memberitahu yang dia tidak terfikir untuk mengambil kesempatan yang sebegitu walaupun menyedari itu peluang terbaik bagi dirinya.

“Saya tidak cuba untuk menggunakan pentas ‘Natrah’ ini sebagai medan untuk memancing minat mana-mana pihak untuk menawarkan watak hero filem kepada saya. Saya hanya menjayakan watak yang diberikan. Untuk itu, saya cuba lakukan yang terbaik. Selepas ‘Natrah’, saya akan lihat apa yang akan berlaku. Jika selepas ini ada pihak yang menawarkan watak hero filem untuk saya, saya akan terima. Bagaimanapun, saya tidak nafikan yang saya mengharapkan peluang yang lebih baik selepas ini,” jelas Remy.

Ditanya adakah dia berpuas hati dengan penampilannya dalam ‘Natrah’, Remy hanya menganggukkan kepala. Tetapi apabila dikata penampilannya tidak begitu menonjol, Remy terus mempertikaikan dakwaan itu.

“Saya rasa tidak perlu persoalkan sama ada watak saya menonjol atau tidak. Teater ini adalah tentang Natrah. Jadi 70 peratus jalan cerita adalah fakta mengenai Natrah. Mansor Adabi hanyalah lelaki yang menjadi suami Natrah. Untuk naskah ini hanya itulah fakta tentang Mansor Adabi yang dipertontonkan kepada audiens. Saya hanya menjayakan watak tersebut. Saya tidak kisah kalau orang kata Mansor Adabi tidak menyerlah. Cerita ini berdasarkan fakta dan sudah tentu ia tidak boleh menyeleweng hanya semata-mata untuk menyedapkan jalan cerita,” luah Remy memberikan pendapatnya.

Diminta bercerita tentang pengalamannya bergandingan dengan Maya Karin pula, Remy memberitahu yang dia senang bekerja dengan Maya.

“Bagi saya Maya adalah pelakon yang sangat bagus. Saya sangat beruntung dapat bergandingan dengan dia. Memandangkan kami sama-sama pertama kali berlakon teater, saya dan dia banyak berbincang untuk menjayakan lakonan kami. Kami sama-sama belajar. Saya kagum dengan kebolehan Maya menjiwai watak Natrah yang berusia 13 tahun biarpun usianya jauh lebih dewasa.”

Masih sendiri
Suatu ketika dahulu, Remy pernah digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan pelakon wanita, Ummi Nazeera. Mereka dikatakan sedang hangat bercinta walaupun seringkali menafikan. Namun kemesraan yang dipamerkan oleh pasangan ini menceritakan segalanya.

Sebelum berlakunya insiden dia dibelasah Jumaat lalu, perhubungan mereka dipercayai sesetengah pihak sudah terlerai di tengah jalan. Bila GUA cuba mendapatkan kepastian, jawab Remy, “Saya tidak pernah memberi kenyataan yang saya sedang bercinta dengan Ummi. Sebaliknya, saya hanya mengakui dia adalah teman rapat. Tidak lebih daripada itu.

“Jadi tidak ada isu kami telah putus cinta. Buat masa ini, saya masih sendiri. Belum ada yang bertakhta di hati. Saya hanya fokus kepada karier. Mudah-mudahan tahun 2010 nanti karier saya lebih berkembang dan menjadi lebih baik,” ujar Remy mengakhiri perbualan.

0 ayat cinta: