Mila Tak Iri Hati Pada Teman AF

Wednesday, December 02, 2009 marina 0 Comments



Sudah dua kali mencuba nasib tetapi kecundang juga di Separuh Akhir Muzik-Muzik. Ada yang mungkin menyifatkan kekalahan itu sebagai belum tibanya lagi rezeki Nursyarmila Jirin atau mesra disapa Mila, di Anugerah Juara Lagu (AJL).

Namun, bila dibandingkan dengan kejayaan teman-teman Akademi Fantasia (AF) lain yang merupakan juniornya, seperti Stacy (AF6) yang akan beraksi untuk kali keduanya di AJL, sementara Hafiz dan Akim yang baru enam bulan meninggalkan Akademi pun berjaya melayakkan diri ke AJL24, tak mungkin tidak timbul rasa geram atau terkilan pada diri Mila.

"Saya selalu 'set'-kan dalam fikiran, jika kita menang setiap pertandingan, siapa pula yang akan kalah? Kalau dapat (masuk AJL), ia satu bonus. Kalau tak dapat, cuba lagi di tahun depan. Tambahan pula, persaingan tahun ini hebat-hebat dan diketengahkan pula format baru di mana tiada kategori yang dipertandingkan. Tapi saya tak serik untuk mencuba lagi di tahun depan. Nama pun pertandingan, kan?

"Lagipun, AJL ialah pertandingan lagu. Juri tidak melihat 100% pada persembahan penyanyi. Sebagai penyampai lagu, saya hanya mampu membuat yang terbaik. Tak timbul isu iri hati pada junior. Kami semua membawa jenama yang sama. Saya bangga dengan pencapaian mereka," ujar juara musim kelima AF ini.

Mila ditemui tengah hari tadi di Paya Indah Wetlands, Kuala Langat, Selangor di mana bersama Dafi, Marsha dan Nana, mereka dan lebih daripada 300 kanak-kanak berusia di antara 9 - 14 tahun telah menanam 1,500 anak-anak pokok sempena projek 'Jom, Hijaukan Malaysia!' anjuran Disney.

Tambahnya lagi, dengan pencapaian yang membanggakan dari artis-artis realiti di Separuh Akhir Muzik-Muzik tahun ini, ia sedikit sebanyak menangkis persepsi masyarakat bahawa bakat yang dilahirkan dari program realiti hanya sekadar 'penyanyi mi segera'.

"Semua program realiti memberikan satu 'platform' yang baik untuk anak-anak muda, seperti saya, menengahkan bakat nyanyian mereka. Tanpa AF, tak mungkin saya dapat peluang yang saya perolehi hari ini. Apa yang penting ialah bagaimana kita menggunakan 'platform' itu dengan betul.

"Dan kita tidak perlu gusar dengan kemasukan bakat-bakat baru ini. Kehadiran mereka memberikan persaingan sihat kepada artis-artis sedia ada untuk berusaha lebih kuat dalam mengukuhkan kedudukan mereka di dalam industri."

Ingin teman lelaki tapi ...
Dari segi perkembangan karier, selain drama 'Kau & Aku' yang sedang ditayangkan di Astro Ria, Mila telah menyumbangkan suaranya untuk filem popular Disney, 'High School Musical 3' yang akan ke udara di Saluran Disney pada 5 Disember ini, jam 7.30 petang, di mana dia membawa watak Gabriella.

Mila juga berkongsi yang dia sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan single terbarunya, yang akan beralih dari konsep pop rock sebelum ini, seperti yang kedengaran dalam single "Jika Kau Ubah Fikiran" kepada genre balada.

Ditambah pula dengan perniagaan produk kecantikannya, LuvMILA, gadis berusia 22 tahun ini memberitahu, buat masa ini, keutamaan diberikan kepada kerjaya. Meskipun teringin mempunyai seorang kekasih, namun Mila bimbang tidak dapat memberi komitmen penuh pada percintaan itu.

"Bukan trauma atas kegagalan percintaan dahulu, sebaliknya saya belajar dari kesilapan lalu. Cuma saya khuatir tidak dapat berikan perhatian penuh. Saya akui ada yang ingin mendekati tetapi saya yang hadkan. Terus-terang saya beritahu mereka saya nak fokus pada kerja dulu. Bila saya dah bersedia, baru kami teruskan," ujarnya yang menafikan mereka yang berminat itu dari kalangan VIP.

0 ayat cinta: