Anang Gagal Penuhi Kehendak KD

Sunday, December 06, 2009 marina 0 Comments


Biarpun komposer dan penyanyi Indonesia, Anang Hermansyah berusaha menyembunyikan rasa sedih dan kecewa atas perceraiannya dengan Krisdayanti (KD), namun semua kedukaan itu masih tetap tergambar pada riak wajahnya.

Lebih-lebih lagi tatkala dia membawakan lagu Separuh Jiwaku Pergi yang telah dimuatkan di dalam album barunya yang ke-6,  yang turut menggunakan judul yang sama.

Lagu yang dicipta khas untuk Krisdayanti itu sudah cukup sarat menceritakan segala apa yang dirasainya ketika bekas isterinya itu meninggalkannya dan didakwa curang. Anang jelas menyanyikan lagu itu dengan sepenuh jiwa sehingga apa yang diluahkannya itu sangat terkesan sekali dan mampu dirasai oleh sekumpulan media tempatan.

Anang yang hadir di Heritage Club, Hotel Chulan Square, Kuala Lumpur petang semalam memberitahu dia memang kecewa dengan keruntuhan rumah tangganya itu.

"Setelah 15 tahun mendirikan rumahtangga, baru hal seperti ini terjadi. Tapi, apa pun yang telah terjadi, saya harus jalani hidup ini.  Anak-anak iaitu Aurel dan Azriel ada bersama saya. Jadi saya harus bertanggungjawab ke atas mereka. Mungkin Yanti (panggilan untuk KD) dari awal lagi sudah bersedia sedia dengan perceraian ini.

"Tapi, bukan anak-anak. Mereka tentu masih belum mampu untuk terima perubahan ini serta kehidupan tanpa seorang ibu. Atas dasar itu saya perlu persiapkan mereka dari sudut fizikal dan mental," katanya yang berbicara di sisi moderator pada majlis itu, Saharudin Musthafa iaitu Pengarang Hiburan Utusan Malaysia.

Anang bagaimanapun tidak mahu menyalahkan Kris Dayanti di atas segala yang terjadi.

"Dalam soal ini, tidak ada siapa yang salah dan tidak ada siapa yang benar. Dua-dua pun salah. Tapi, secara peribadi yang benar-benar salah dalam soal ini adalah saya, Anang kerana saya seorang pemimpin dalam keluarga.

"Kalau saya memimpin dengan betul, sudah tentu semua ini tidak akan terjadi. Saya yang akan ditanya sama Tuhan kenapa gagal memimpin rumahtangga. Kenapa gagal mempertahankan rumahtangga yang dibina selama ini.

"Kalau saya mampu memberikan semua yang Yanti mahukan, pasti semua ini tidak akan terjadi. Tetapi sebagai manusia biasa, saya juga punya keterbatasan sendiri dalam beberapa hal.

"Atas sebab itu, saya  memohon maaf. Saya mohon maaf atas keterbatasan ini dan saya tidak kesal ia terjadi. Tetapi, saya akan belajar untuk mengubah kesilapan ini supaya ianya tidak akan terjadi lagi," katanya.

Ditanya apakah keterbatasan yang tidak dapat diberikan pada KD, Anang berkata, dia tidak dapat berkongsi tentang hal itu.

"Saya tahu apa yang diingininya tapi saya tidak dapat menceritakan kerana ia terlalu peribadi," katanya.


Anang mahu cari calon isteri baru

Anang yang dibawakan khas oleh Suria Records (SRC) ke Kuala Lumpur juga mengakui bahawa dia terasa cepat mencari pengganti.

"Hidup berdua itu lebih baik daripada bersendiri. Ketika ini saya menyedari bahawa diri saya sangat kesunyian sekali. Anak-anak pun suruh saya berkahwin lain.. tapi, mencari calon isteri tidak mudah.

"Saya tidak kisah dengan sesiapa pun. Sama ada dia seorang artis atau bukan. Tapi, dia haruslah seorang yang memgambil berat tentang soal keduniaan serta akhirat. Dia juga tidak seharusnya bertudung," katanya dalam nada yang kembali ceria.

Malah Anang kemudian berseloroh: "Saat ini, banyak juga yang menghantar gambar mereka untuk saya jadikan calon isteri tapi semuanya bertudung. Soal penampilan bagi saya tidak penting. Malah, kalau ada calon di Malaysia juga tidak apa."

Jelas Anang lagi, saat ini Yanti juga masih belum perkenalkan lagi pihak ketiga iaitu lelaki yang dikaitkan dengannya sebelum ini.

"Saya memang ingin sekali bertemu dengannya. Kalau boleh saya bahagia kalau Yanti cepat-cepat nikah kerana dari situ dia akan dapat mengikut haluan seorang pemimpin yang baru.

"Kalau dia sudah punya pemimpin yang baru, akan tercetuslah rule of game yang baru dan mudahlah bagi saya untuk berbincang tentang nasib dan masa depan anak-anak dengan lebih jelas lagi.

"Konsep inilah yang Yanti harus faham. Saya tidak nafikan naluri keibuannya yang mahu sentiasa bertemu dan dekat bersama anak-anak. Tapi, hari ini, keadaannya berbeza. Dia yang memohon cerai dan anak-anak mengetahui apa yang terjadi.

"Kalau Yanti sekarang ini banyak luangkan masa bersama anak-anak tapi tidak dapat melakukannya setelah bernikah nanti atas permintaan pemimpin yang baru, bagaimana nanti anak-anak saya akan menghadapinya?

“Saya tidak mahu hal itu memberikan kesan buat anak-anak. Saya mahu anak-anak menjadi anak-anak yang sempurna. Tapi, buat masa ini, kelukaan mereka masih belum sembuh lagi. Bukan mudah untuk mereka hadapi semua ini. Lebih-lebih bila ada saja pihak yang bertanya tentang soal ibu mereka,"katanya.

Tentang album ke-6 beliau, Anang berkata, kesemua 6 lagu yang dimuatkan di dalam album ini menceritakan tentang luahan peribadinya terhadap KD.

"Saya mengambil masa 2 bulan untuk menghasilkan album ini. Mungkin segelintir pihak menganggap ia sebagai tergesa-gesa tetapi sebagai seniman saya hanya berkarya menerusi ilham yang diberikan Tuhan.

"Selepas 10 hari anak-anak datang kepada saya, barulah saya berjaya menyiaokan lagu Setelah Hujan Menangis, Sakit dan Belajarlah Untuk Cinta. Tapi, waktu itu saya masih tidak tahu tentang kecurangan itu. Setelah diberitahu oleh anak-anak, barulah saya mengetahuinya dan pada saat itulah saya menciptakan lagu Separuh Jiwaku Pergi," katanya.

0 ayat cinta: