Aku Redha Dia Isteriku...
28 tahun dahulu, aku dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung. Ya, aku orang kampung. Namun, kerana kelebihan yang kumiliki, aku melanjutkan pelajaran dan bekerja di bandar dengan gaji yang kuimpikan. Seperti lelaki yang normal, aku juga mempunyai kekasih hati dan pada usia begini, aku memang telah memikirkan untuk mengakhiri zaman bujangku. Rin begitu sempurna pada pandanganku, apatah lagi dia digilai oleh ramai lelaki samada di kampus dahulu mahupun di tempat kerjanya. Namun kurasakan diri ini begitu bertuah kerana Rin memilih untuk bersamaku. Setelah janji dipatri, aku mengambil keputusan untuk memberitahu ibu di kampung. Aku ingin segera di satukan dengan gadis pilihanku ini. Ibu kuhubungi, menyatakan aku akan pulang menjenguknya selepas kerja hari jumaat ini.
Malam itu, selepas solat isyak, aku mendekati ibu. Niatku cuma satu, aku ingin memiliki Rin. Restu ibu kupohon. Namun, sebelum sempat aku memulakan bicara, ibu terlebih dahulu menunjukkan foto seorang gadis. Aku pandang sepintas lalu, ayu. Manis bertudung, tidak seperti Rin yang berambut perang. Ibu, bukan ini yang mahu aku bincangkan. Dengarlah ibu.. Aku cuba menyusun kata. Ibu juga mahu meneruskan ceritanya. Sebagai tanda hormat, aku biarkan ibu meluahkan perasaannya dahulu. Ahhh? hampir pitam aku dibuatnya bila aku menyatakan gadis dalam foto itu ialah tunangku yang ibu pinangkan minggu lepas dan majlis perkahwinanku dirancangnya pada awal bulan hadapan. Ibu, ibu? kenapa ibu buat begini. Aku cuba menolak tetapi apabila melihatkan wajah tua ibu, aku menjadi sayu. Bagaimana hendakku khabarkan bahawa aku mencintai Rin, bukannya gadis itu. Ibu terus bercerita yang gadis itu paitu, anak arwah kawannya yang meninggal tahun lalu. Ibu memang telah lama berkenan dengan gadis itu, dan sekarang ibu ingin menyambung persaudaraan dengan arwah rakannya. Ibu ingin bermenantukan gadis itu. Anak seorang imam dan ustazah, itulah impian ibu. Melihatkan air mata ibu, aku menjadi lemah. Setelah ketiadaan ayah 20 tahun lalu, ibulah yang bersusah payah mencari rezeki untuk kami 2 beradik. Sebagai anak sulung, akulah harapan ibu.. aku lah semangat ibu.. Mengenangkan itu, aku menjadi sebak.. Tak sanggup rasanya aku melukakan hati tua itu. Petang ahad itu, aku pulang ke bandar. Sepanjang perjalanan, aku tak henti-henti berfikir tentang hal ini. Berkali-kali aku terpaksa berhenti di hentian rehat kerana fikiranku kacau. Aku tidak dapat memberikan tumpuan pada jalanraya. Aku buntu. Bagaimana hendak ku khabarkan kepada Rin yang aku kini tunangan orang. Bagaimana untuk aku nyatakan kepadanya yang impian kami selama ini kini tinggal angan-angan. Rin pasti kecewa, dan yang pasti aku tak sanggup mengecewakan hati gadis yang kucintai. Foto dan no telefon yang dibekalkan ibu aku buang ke dalam tong sampah di satu hentian rehat. Aku tidak akan menghubungi gadis yang kuanggap pemusnah impanku.
Seperti kujangka, Rin tidak dapat menerima berita ini. Dia menangis dan menangis. Dia mendesak aku memutuskan pertunangan dengan gadis itu. Dia juga mahukan no telefon gadis itu. Dia mahu bersemuka dengannya. Rin tidak mahu melepaskanku. Aku semakin buntu.
Semakin hari, semakin dekat tarikh pernikahanku. Aku semakin tersepit dengan karenah Rin yang semakin menjadi-jadi. Aku cuba mententeramkan hatinya dengan menyatakan dialah cintaku selamnya. Kerana terdesak, Rin mencadangkan kami lari bernikah di negara jiran.. Cadangan Rin kutolak. Tak sanggup aku melukakan hati ibu. Rin juga sanggup mengetepikan maruahnya dengan mengajak aku bermalam bersama. Rin, kutahu cintamu tulus untukku, tetapi jangan lah kau berkorban sehingga ke tahap ini. Ilmu agama yang ibu ajarkan masih kupegang. Aku masih tahu membezakan antara yang halal dan yang haram. Ingatlah Rin, jangan sesekali memperjudikan maruahmu.
Dengan sekali lafaz, aku secara sah telah menjadi seorang suami. Aku kesal kerana bukan nama Rin yang kusebut tadi. Kali pertama bersua muka dengan isteriku untuk upacara membatalkan air sembahyang, perasaanku sedikit terusik. Memang ayu wajahnya, solekan yang nipis menyerlahkan kecantikan semulajadinya. Memang patut ibu berkenan, tetapi sayang, hatiku, perasaanku dan cintaku untuk orang lain.
Malam itu, memang aku sengaja berlengah-lengah di ruang tamu. Berat kakiku melangkah ke kamar pengantin walaupun beberapa kali diingatkan oleh ibu. Melangkahkan kaki ke dalam bilik, aku terpaku. Naluri kelakianku bergetar melihatkan aurat yang selama ini terlindung di sebalik tudung. Indah sungguh ciptaanmu Tuhan. Dia senyum padaku. Senyumannya ku balas. Aku menukar pakaian dan terus baring di katil. Malam itu berlalu begitu sahaja. Aku bangga kerana berjaya mengawal perasaanku. Ketahuilah Rin bahawa cinta, hati dan tubuhku hanyalah untukmu.
Pagi itu, kulihat gadis itu tiada di sebelah. Dah lari ke? Aku bingkas bangun. Di dapur rupanya dia. Dia sibuk menyediakan sarapan bersama ibu. Kulihat tangannya lincah di dapur.. Ibu juga nampaknya gembira bersama menantunya itu. Aku hanya diam seribu bahasa sambil menjamah sarapan yang disediakan. Sedap, memang sedap. Adikku tak habis-habis memuji kakak iparnya itu. Usikan keluarga yang lain kubiarkan begitu sahaja. Aku tidak berminat membalasnya.
Setelah 5 hari di rumah ibu, aku perlu pulang ke bandar. Ahh,, sudah semestinya gadis ini perlu ku bawa pulang. Masalah.. masalah. Rin pasti mengamuk jika dia tahu. Rin, percayalah, gadis ini tidak pernah kusentuhi.
Di rumah, aku meminta Hana tinggal di bilik sebelah, bukan sebilik denganku. Dia tidak membantah, menurut sahaja. Hari-hari seterusnya ku lalui seperti biasa. Hana tidak banyak karenah. Setiap pagi, dia pasti bangun awal menyediakan sarapanku. Baju kerjaku siap digosok. Rumah dan bilikku sentiasa di kemas. Pendek kata, dia benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai penyeri rumahtanggaku. Sebagai guru, dia ke tempat kerja lewat tetapi pulang lebih awal daripadaku. Apabila aku pulang, semuanya telah tersedia. Tinggal makan dan rehat sahaja.
Sebagai suami dan ketua keluarga, aku tidak lupa memastikan kelengkapan rumah kami tersedia. Walaupun aku tidak menerimanya sebagai isteri, tetapi aku juga tidak mengabaikannya. Duit sara hidup dan duit dapur kutinggalkan untuknya. Jika ada barangan yang habis, aku tidak lupa belikan. Pendek kata, tiada yang kurang dalam rumah tangga kami. Yang kurang ialah kami tidak tidur bersama. Bukan aku kejam, cuma aku tidak boleh . Cintaku masih untuk Rin. Aku bukanlah jenis lelaki yang akan mengambil kesempatan. Walaupun Hana isteriku, aku tidak mahu ? bersamanya? hanya kerana tuntutan nafsu. Aku mahukan cinta. Syukurlah dia faham. Aku dan Hana seperti biasa. Kami juga berbual-bual di ruang rehat atau di meja makan, seperti suami isteri yang lain. Yang bezanya, kami akan masuk ke bilik masing-masing untuk tidur.
Hana tidak pernah mempersoalkan tindakanku. Dia redha. Dia tahu aku mempunyai Rin dalam hidupku. Rin selalu menghubungiku. Adakalanya aku rimas dan lemas kerana Rin selalu mendesakku melepaskan isteriku. Mana mungkin aku menceraikan isteriku yang tiada dosa. Atas sebab apa dia nak kuceraikan. Aku buntu. Hana gadis sempurna. Tiada satu pun cacat celanya. Dia memang layak menjadi isteri. Bohonglah kalau kukatakan aku tidak tergoda melihatnya, tetapi aku menahan segalanya. Aku tidak mahu memusnahkan kepercayaan Rin terhadapku. Tanpa ku sedar, dalam masa yang sama, aku juga tidak mahu kehilangan Hana. Dia gadis baik. Sentiasa menghormatiku sebagai suami. Tuturkatanya lembut, senyumannya menawan. Tak dapat kubayangkan rumah tanggaku tanpa Hana. Dia penyeri rumahku.
Empat bulan berlalu, kehidupan kami masih seperti dahulu. Cuma, hubunganku dengan Rin agak tegang. Sebenarnya aku mula rimas dengan karenahnya yang semakin mejadi-jadi. Bila kuamati semula, banyak bezanya antara Hana dengan Rin, terutamanya dari segi tuturkata, tingkahlaku dan keterbukaannya. Tapi, aku tidak salahkan Rin, dia gadis moden yang membesar di bandar, tentulah nilai sosialnya tinggi, berbanding dengan Hana yang lahir dan membesar di kampung yang penuh dengan adat istiadat dan adab. Apatah lagi dia anak ustaz dan ustazah. Tentulah berbeza.
Bukan aku tidak pernah terikir untuk menghentikan semua ini. Aku tahu hubunganku dengan Rin tidak akan ke mana, tapi entah mengapa aku sukar melepaskan gadis itu. Bukan aku tidak pernah cuba menerima Hana sebagai isteriku dan menghargai permata di depan mataku, tetapi tiada cinta untuknya di dalam hatiku. Kadangkala aku terfikir, benarkah tiada cinta untuk Hana, atau akukah yang sengaja menafikan kewujudan cinta itu?..
Lima bulan berlalu, ibu di kampung mula bertanyakan tentang ? cucunya?. Masalah lagi. Ibu mahukan cucu dari rahim Hana. Aduh, semakin pening aku. Mana mungkin lahir umat dari rahim itu ibu, sedangkan dia masih suci, masih belum terusik, masih sama seperti hari lafaz di akad. Hana hanya tersenyum memandangku sambil memujuk ibu. Hana pandai menjaga maruahku dan rahsia rumah tangga kami. Dia benar-benar isteri yang baik.
Malam itu, selepas solat isyak, aku terus tertidur. Penat sungguh ku rasa setelah pulang dari rumah ibu. Dalam tidur itu, aku bermimpi Hana meminta aku melepaskannya. Kata-katanya menyayukan. Esak tangisnya membuatkan aku hiba. Dia minta dilepaskan daripada aku terus menyeksanya begini. Dia ingin keluar dari segala kepalsuan yang kuciptakan. Rumah ini bukan syurga untuknya? Dia terasa bagaikan hamba..
Aku terjaga.. Berpeluh badanku. Syukurlah bukan realiti. Saat itu aku sedar aku tak sanggup kehilangan Hana. Aku tak dapat menafikan lagi bahawa aku memerlukannya. Aku bergegas bangun. Hana tiada di biliknya. Aku ke dapur, lega hatiku melihat Hana sedang mencuci pinggan mangkuk.
"Abang nak minum air, Hana buatkan?" lembut suaranya menyentuh kalbuku. Aku bagaikan tersedar dari lamunan, keayuan dan keikhlasan wajahnya terserlah. Aku tahu dia terkejut bila tangannya ku tarik ke ruang depan. Dia duduk di sofa sambil merenungku kehairanan. "Kenapa bang ??" Tercetus pertanyaan dari mulutnya. Tangannya kugenggam. Aku tak tahu bagaimana memulakan bicara. Buat pertama kalinya aku kelu. Terasa diri ini begitu lemah dan kerdil. Tangannya ku cium.Walaupun kutahan, air mata lelakiku tumpah jua sewaktu ucapan maaf keluar dari mulutku. Keegoanku tewas. Aku benar- benar lemah. Aku ingin sujud dan memohon ampun kepada gadis ini kerana mengabaikannya selama ini. Aku takut dia akan lari meninggalkanku. Air mata Hana mengalir sewaktu dahinya ku cium.
Pada waktu itu, hatiku nekad, aku akan menjaga gadis ini sepanjang hayatku. Hidupnya takkan kusiakan lagi. Cukuplah hampir 6 bulan usia perkahwinan kami, jiwanya ku seksa. Haknya kunafikan. Cukuplah. Aku berjanji akan membahagiakan dirinya di syurga kami ini. Aku tidak mahu lagi melihat air mata deritanya. Ya tuhanku, sesungguhnya kau telah menciptakan dia untukku, sebagai amanah buatku, akan ku pikul tanggungjawab ini sebaiknya. Ya tuhan, ketahuilah, sesungguhnya aku redha dia isteriku... Amin.
Last edited by zahra; 11-17-2008 at 02:06 PM..
0 ayat cinta: