Lagu Kelibat Si Penyair Jadi Taruhan Azlan & The Typewriter

Monday, August 24, 2009 marina 0 Comments


Pada 20 Ogos lalu, jam 3 petang, satu majlis sidang media dan pelancaran album terbaru Azlan & The Typewriter telah diadakan di Uncle Chillis, Hotel PJ Hilton dengan dihadiri Lan, vokalis Meet Uncle Hussan serta bandnya yang baru~

Azlan atau nama penuhnya Norazlan Roslee baru-baru ini telah membuat kejutan kepada industri hiburan tanahair di mana sebagai vokalis, beliau telah membuat keputusan untuk meninggalkan kumpulan Meet Uncle Hussain.

Pengunduran tersebut bukan untuk bersara tetapi untuk mengembangkan lagi karier beliau sebagai pejuang muzik sekaligus mewarnai dunia seni tanahair. Masih bernaung di bawah label yang sama, Satu Entertainment Sdn Bhd, beliau menggunakan nama “Azlan & The Typewriter” (ATT) sebagai taruhan perjuangan solo ini. Berjayakah Lan menyuntik populariti Meet Uncle Hussan ke jasad Azlan & The Typewriter? Segalanya terserah pada selera peminat.

“Jujurnya, nama Azlan diletakkan di hadapan kerana saya bertanggungjawab penuh untuk grup baru ini. Ini komitmen saya. Dengan cara itu, saya akan lebih bersedia berdepan dengan penambahbaikan. “Sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk semua itu,” ujarnya sambil menepis norma pemikiran golongan yang tidak senang dengan perjalanan seninya.

Maka, pemilihan Gimie (drum), Syed Al-Bidin (gitar utama), Pak’Ku (bass) dan Shem serta Zain (penyanyi latar) selaku pemuzik, melengkapkan keinginan dan bersatu untuk menyampaikan sesuatu yang baru untuk peminat.

Kelibat Si Penyair adalah catatan kesungguhan mereka. Single pertama ini telah pun dapat didengari di corong radio. Lagu ciptaan komposer menggunakan akronim Lights & Lake ini membawa metafora kebangkitan semangat untuk sesiapa sahaja yang pernah lumpuh. Diperdengarkan sekali lalu pada petang temu bual tersebut, ini adalah pembaharuan untuk Alan dan keyakinan baru buat dirinya.

“Kalau orang tanyakan kekuatan grup ini, saya harus katakan bukan dari aspek vokal. Kalau sebut pasal vokal saya, orang sudah kenal dan tahu. Grup ini mempunyai kekuatan dari aspek muziknya sendiri. Corak muzik yang berbeza dan begitu juga konsepnya,” getusnya yang mengaku pengaruh muzik kali ini bertukar 360 darjah berbanding dahulu.

Nama ATT adalah suatu simbolik kepada adikarya Azlan dan seorang lagi pejuang muzik di belakang tabir. Mereka menjadikan mesin taip atau typewriter sebagai rujukan kepada keaslian sentuhan ekspresi diri dalam membentuk seni muzik. Turut menggabungkan elemen futuristic kepada genre Moden Alternatif Indie Rock yang ingin diketengahkan mereka, tentunya memberi karektor yang unik kepada muzik ATT.

“Ini transisi besar dalam hidup saya. Tapi dari sudut tekanan, saya rasa lebih seronok sebab bebas dalam berkarya. Otak saya juga terasa lebih bebas dan bergerak. Kesimpulannya, bebas dalam semua sudut. Andai kata grup baru saya ini tidak diterima untuk tahun ini atau tahun hadapan, saya memandang kepada satu gerakan jangka panjang. Mungkin lima tahun lagi, ia boleh diterima.”

Sebagai pengenalan, ATT tampil dengan single pertama berjudul “Kelibat Si Penyair”. Lagu ini menjanjikan suatu pengalaman baru kepada para pendengar terutamanya peminat muzik indie. Manakala album ATT berjudul “Peta Minda” dijangka akan berada di pasaran muzik tempatan pada penghujung tahun 2009.

Layari dan dengar lagu terbaru mereka di Myspace: http://www.myspace.com/azlanandthetypewriter


0 ayat cinta: