MyTV3 Kini Berwajah Baru

Thursday, October 28, 2010 marina 0 Comments

NANTIKAN KEMUNCULAN WAJAH BARU

Bermula tahun 2004, MyTV3 telah menjadi platform terbaik untuk para penonton setia TV3 yang mahu mendekati stesen televisyen kegemaran mereka.

Kapsul MyTV3 yang bersiaran selama 2 minit sahaja bakal berwajah baru dengan kelahiran program 30 minit yang akan mula ditayangkan pada 7 November 2010, setiap hari Ahad jam 6.00 petang. Objektif program ini adalah untuk mewujudkan satu interaksi dan komunikasi yang lebih rapat bersama ahli-ahli MyTV3 di samping menghargai sokongan padu mereka selama ini.

aktiviti menarik bersama MyTV3

Dihoskan oleh personaliti TV yang tidak asing lagi, Aidid Marcello, MyTV3 memberi peluang kepada ahli-ahli untuk mengikuti perkembangan terkini MyTV3 menerusi 4 segmen eksklusif iaitu MyDREAMS, MyMEMBERS, MyDAY dan MyZONE.

Sejak memulakan operasinya secara tidak rasmi di Karnival Sure Heboh (kini dikenali sebagai Jom Heboh) pada tahun 2004, sesi pendaftaran dan pengambilan ahli-ahli baru MyTV3 rancak dijalankan selama 7 tahun. Sehingga kini, MyTV3 masih berdiri kukuh dengan jumlah keahlian hampir 1 juta orang.
Menerusi program 30 minit tersebut, MyDREAMS merealisasikan impian ahli MyTV3 yang terbuku di dalam hati mereka seperti mahu melancong ke luar negara, ingin memandu kereta mewah, beramah mesra dengan pujaan artis dan sebagainya.

Dalam segmen MyMEMBERS, ia memaparkan keunikan kisah hidup ahli MyTV3 untuk dijadikan sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia supaya berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing. Seterusnya dalam MyDAY, krew MyTV3 akan menerjah ahli-ahli MyTV3 tanpa dijangka dan memberi kejutan yang tidak dijangka seperti meraikan hari jadi dan menjalankan aktiviti-aktiviti spontan bersama MyTV3 Roverz.

sesi penggambaran MyTV3

Manakala dalam MyZONE pula, ia memaparkan pelbagai informasi dan paparan buletin tentang ahli-ahli MyTV3 yang terlibat dalam acara-acara yang dianjurkan oleh TV3 seperti Karnival Jom Heboh, MyTV3 Campus, School Attack, Kids Parade, Anugerah Juara Lagu dan sebagainya.

Selain itu, MyTV3 juga mewujudkan interaksi dua hala dengan ahli-ahli MyTV3 menerusi laman web MyTV3, laman sosial Facebook dan Twitter untuk berkongsi informasi-informasi terkini serta menerima sebarang maklum balas dan cadangan daripada mereka. Malahan, mereka juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dengan menjawab soalan mingguan.

Menurut Dato’ Sri Farid Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, “Penubuhan keahlian MyTV3 bertujuan memberi pendekatan kepada ahli-ahli untuk menjadi sebahagian daripada warga TV3.

Mereka bukan sahaja dapat jemputan eksklusif di acara berprestij stesen seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Skrin dan juga acara padang seperti Jom Heboh, School Attack, Kembara TV3, Seminar Untukmu Wanita dan lain-lain. Malah mereka juga diberikan keutamaan untuk diterima sebagai pelatih stesen TV3 dalam menimba ilmu di bidang penyiaran. Kami berasa ia suatu pemberian yang amat bermakna kepada para penonton setia kami khususnya ahli-ahli MyTV3.”

“Kami amat berbesar hati kerana MyTV3 masih menerima pendaftaran ahli baru di gerai MyTV3 semasa Karnival Jom Heboh, aktiviti bersama kolej dan universiti serta pendaftaran SMS. Dengan pembaharuan yang dilakukan pada program MyTV3 dan dipanjangkan masa siarannya kepada 30 minit, kami berharap dapat memberi manfaat maksimum kepada ahli-ahli My TV3 di seluruh Malaysia.”

Secara umum, MyTV3 telah diperkenalkan bagi melambangkan pendekatan terhadap penonton. Ahli akan berasa dekat dengan TV3 khususnya apabila merujuk pada MyTV3. Tahun 2004, MyTV3 telah memulakan operasinya secara tidak rasmi di Karnival Sure Heboh (kini dikenali sebagai Jomheboh).
Disinilah pendaftaran dan pengambilan ahli-ahli baru MyTV3 dijalankan. Setiap ahli ditawarkan keahlian seumur hidup dengan bayaran RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.
Pelancaran wajah baru MyTV3 akan diadakan di gerai MyTV3 bersempena dengan Karnival Jom Heboh di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 7 November 2010 jam 5.30petang. Ahli-ahli MyTV3 dialu-alukan untuk meraikannya bersama krew MyTV3, MyTV3 Roverz dan juga artis-artis jemputan seperti Intan Ladyana, Erry Putra, Comel Hotel Mania dan Munir.

Krew penerbitan program MyTV3 diketuai oleh Aidid Marcello selaku Penerbit Eksekutif merangkap pengacara, Faizal Affendy Roos Affendy selaku Penerbit dan dibantu oleh Roziela Rusli. Teruskan memberi sokongan anda kepada program keahlian MyTV3 dan jangan lupa untuk mengikuti siaran program MyTV3 setiap hari Ahad jam 6.00petang di TV3 mulai 7 November 2010. Sebarang maklum balas, sila hubungi talian MyTV3 03-77242485, melalui Facebook www.facebook.com/mytv3 dan emel kepada mytv3@tv3.com.my

Krew MyTV3 (a)

0 ayat cinta: