Penantian 25 tahun Ahadiat

Saturday, June 05, 2010 marina 0 Comments

SELAMA suku abad, novelis ternama ini menanti penuh sabar untuk melihat novel yang dianggap sebagai mahakaryanya, Lagenda Budak Setan (LBS) dizahirkan ke layar perak.

Bukan tidak ada yang menghampiri dan menawarkan untuk berbuat demikian, tetapi Ahadiat Akashah memberitahu semuanya sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Lalu, dia memendam sahaja impiannya itu dengan harapan satu hari nanti akan ada insan yang dapat menjadikan mimpinya itu satu realiti,

Selepas puas berdoa siang dan malam, Ahadiat kini mampu tersenyum puas apabila akhirnya selepas 25 tahun, LBS berjaya dijadikan sebagai sebuah filem.

Bagi Ahadiat, penantian itu memang satu penyeksaan tetapi melihat hasil sentuhan pengarah kelahiran India, Sharad Sharan yang menggarap filem LBS, dia benar-benar puas hati.

Malah, terselit rasa bangga apabila melihat naskhah agungnya itu berjaya divisualkan dengan cukup cemerlang sekali sekali gus mengangkat taraf LBS di tahap yang paling tinggi.

"Kalau saya berjaya mengalirkan air mata sepanjang menonton filem ini, ia bermakna filem ini berjaya menepati sasarannya," kata Ahadiat ringkas.

Penulis novel tersohor itu berkata demikian sewaktu ditemui pada sidang akhbar selepas pratonton filem berkenaan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

LBS yang mula diputarkan di pawagam tempatan di seluruh negara sejak semalam (3 Jun) itu menyaksikan gandingan Farid Kamil dan Lisa Surihani untuk ke sekian kalinya sebagai teraju utama filem berkenaan.
Dalam filem itu, Farid dan Lisa memegang watak sebagai Kasyah dan Ayu yang merupakan watak ikonik diminati ramai sejak 25 tahun lalu.

Bintang-bintang lain yang mewarnai filem tersebut ialah Que Haidar sebagai Azmi, Raja Farah (Suzana), Nur Fazura (Kate), Sheila Mambo (Mak Leha) dan pelakon baru, Shiqin Kamal yang memeran watak Emilia.
Bukan mahu memperkecilkan bakat Sharad sebagai seorang sutradara tetapi melihat kepada trek rekodnya sebelum ini, filem-filemnya semua gagal di pasaran dan menerima kritikan hebat.

Lalu, apakah yang membuatkan Ahadiat yakin dan percaya kepada kebolehan Sharad untuk menggarap karyanya itu dalam menjadikannya sebagai sebuah filem cinta yang mampu meninggalkan impak?

Menjawab persoalan itu dengan tenang, Ahadiat memberitahu dia sememangnya meletakkan harapan yang cukup tinggi apabila Sharad datang kepadanya meluahkan hasrat untuk mengadaptasi LBS.

Selepas beberapa kali mengadakan perbincangan, dia melihat keluhuran dan kejujuran pengarah filem Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri itu yang mahu menjadikan LBS sebagai filem yang mampu menyentuh jiwa.

"Saya kagum dengan semangat Sharad yang begitu bersungguh-sungguh mahu merealisasikan LBS ke layar perak.
"Kesungguhan Sharad membuatkan saya meletakkan kepercayaan yang begitu tinggi kepadanya agar dia mampu memberikan magisnya kepada LBS.

"Selepas menonton filem ini, ternyata percaturan saya itu tidak silap kerana Sharad berjaya memberikan sentuhan terbaiknya dan saya kagum dengan apa yang telah dilakukannya terutama aspek sinematografi.

"Namun begitu, saya harus akui ada sedikit cacat-celanya tetapi itu bukan satu masalah yang besar. Biasalah, mana ada filem yang sempurna pembikinannya," ujar Ahadiat yang memberi sepenuh kebebasan kepada Sharad dan krew produksi dalam memberi sentuhan terbaik untuk LBS.

Biarpun latar cerita sebenar LBS menggambarkan persekitaran era 80-an, bagi Ahadiat ia bukan satu masalah untuk menjadikan LBS dalam bentuk filem.

Apa yang penting baginya adalah semangat watak di dalam novel itu dikekalkan seperti mana yang sudah diketahui sebelum ini.

"Saya percaya peminat setia LBS akan datang menonton filem ini kerana sudah lama saya menantikan saat ini yang mahu dikongsikan bersama dengan mereka," jelas Ahadiat yang mahu melihat filem ini mendapat sambutan sekali gus mencatatkan kejayaan luar biasa.

0 ayat cinta: