Mentor 4: Ila-Joe Flizzow Tersingkir

Tuesday, June 29, 2010 marina 0 Comments

Hanya dua markah yang memisahkan di antara adik-beradik ini, Ila dan Adi. Namun perbezaan dua markah itulah yang melayakkan Adi, protege Dayang Nurfaizah, ke peringkat akhir Mentor 4 pada minggu depan, sementara Ila, protege Joe Flizzow, hanya mampu melihat dari tepi. Bukan satu keputusan yang menggembirakan Adi tetapi begitulah adat pertandingan.

Dengan 42 markah, Ila berada di tangga terbawah di antara empat protege lain, diikuti Adi dengan 44 markah, Nani, 55, dan Mohd, 59. Perancangan awalnya, finale Mentor 4 hanya akan melihat dua protege berentap tetapi sebelum pengumuman keputusan rasmi, pengacara Ally Iskandar mengumumkan bahawa pihak TV3 telah memutuskan dari empat protege yang bertanding, tiga akan layak ke peringkat akhir.

Buat peminat Ila, gadis berbakat besar ini - yang menjadi protege pilihan juri profesional Dato' Sheila Majid malam ini - berjanji perjuangannya di dalam bidang nyanyian tidak akan berakhir di sini. Malah Joe dengan yakinnya mengumumkan kepada penonton Ila akan kembali.

Mengimbas kembali persembahan keempat protege malam tadi, kesemuanya telah memberikan satu percubaan yang baik walaupun mungkin kerana terlalu gementar, memandangkan ia pusingan separuh akhir pertandingan, persembahan mereka bukanlah yang terbaik. Selain masalah 'pitching', beberapa daripada mereka juga gagal menjiwai lagu yang dipersembahkan, seperti yang dikatakan Sheila.

Memasuki pusingan terakhir Mentor 4, Nani, Adi dan Mohd hanya ada seminggu untuk memperbaiki kelemahan mereka dan mengasah lagi bakat yang ada. Seminggu bukan masa yang panjang. Tetapi mereka harus lakukan yang terbaik jika ingin bergelar juara. Bukan saja masa depan mereka sebagai penyanyi menjadi pertaruhan tetapi juga maruah mentor masing-masing yang telah bertungkus-lumus mencurahkan segala ilmu ke atas anak didik pilihan mereka ini.

Jadi, siapa yang bakal merangkul gelaran juara Mentor 4? Dan adakah seperti yang dikatakan Azmeer sebelum ini, populariti mentor sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan undian juri awam dan SMS? Semuanya akan terjawab pada 4 Julai ini, jam 9 malam di TV3.

p/s: xsuke ila tersingkir..

0 ayat cinta: