Tuah Bekas Pelajar AF8

Monday, May 31, 2010 marina 0 Comments

Sungguh bertuah para pelajar yang pernah menyertai program realiti popular, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) yang baru sahaja berakhir minggu lalu.

Bukan sahaja para finalis mendapat perhatian ramai, malah mereka yang kecundang di peringkat awal, cohtohnya Ema, berjaya menjadi duta Brands Innershine bersama adiknya, Adira untuk tempoh setahun.

Terbaru, bekas pelajar AF8 dihimpunkan di dalam sebuah album kompilasi yang kini sedang hangat di pasaran serta dikhabarkan bakal membintangi beberapa buah filem pada masa yang akan datang.

Menurut bekas pengetua AF8, Norman Abdul Halim, penghasilan album tersebut adalah inisiatif Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) dan KRU Studios yang percaya dengan bakat serta kebolehan kesemua peserta.

"Saya percaya mereka semua mempunyai bakat untuk diketengahkan. Album ini sebenarnya memberikan mereka peluang untuk membuktikan bakat masing-masing dan dalam masa yang sama memberikan mereka ruang untuk bergiat aktif dalam bidang seni.

"Selain itu, selama 12 minggu bersama mereka, saya dapati ada di antara mereka yang mempunyai bakat dalam bidang lakonan. Saya percaya bakat yang mereka miliki, jika terus diasah dan diberi peluang mampu memberikan impak kepada industri seni kita.

"Namun sehingga kini, semua itu masih dalam perancangan dan mungkin AESB dan KRU Studios akan melihat kesesuaian mereka untuk membintangi mana-mana drama atau filem," katanya optimis.
   
Ditanya tentang album kompilasi tersebut, Norman memberitahu pihaknya mendapat respon yang sangat positif daripada peminat. Lebih membanggakan di dalam keadaan industri yang masih belum menentu, album kompilasi AF8 sudah ditempah sebanyak 3,000 unit.

"Ini satu perkembangan yang baik dan saya mendapat tahu kebanyakan lagu-lagu pelajar AF8 sudah mula mendaki tangga carta radio popular. Malah di internet juga, ramai yang mula melihatnya dan ini merupakan satu kebanggaan kepada saya," tambahnya.

Shahir: Mudahkan finalis AF8 bergerak sebagai artis
Juara AF8, Shahir ketika ditemui, memberitahu dia berasa gembira kerana bukan sahaja dirinya, malah rakan-rakan AF8 yang lain turut sama-sama terlibat di dalam album kompilasi itu.
 
Katanya, dengan adanya single untuk mereka semua, ia memudahkan mereka untuk bergerak sebagai artis dan dalam masa yang sama memberikan keyakinan untuk terus berhadapan dengan cabaran dunia seni.

"Buat masa ini semuanya berjalan dengan baik. Cuma saya yakin cabaran yang bakal dilalui selepas ini pastinya lebih banyak dan saya perlu sentiasa berhati-hati supaya tidak melalui jalan yang silap.
 
"Malah sekarang pun saya ada dengar macam-macam gosip yang tidak benar. Tetapi inilah lumrahnya dunia seni dan saya perlu melaluinya. Dalam masa yang sama, saya mahu berterima kasih kepada semua pihak yang percaya dengan bakat kami," katanya yang berhasrat untuk menyambung kembali pengajiannya selepas ini.

Antara lagu yang dimuatkan di dalam album tersebut ialah "Berakhir Sebelum Bermula" yang dinyanyikan oleh Anum, "Hati-Hati" (Ema), "Bernaafas Lagi" (Shah), "Bangun Semula" (Alif), "Kebahagiaan Dalam Perpisahan" (Shahir), "Hujung Minggu" (Farina), "Kenapa" (Daus), "Ku Ada Kamu" (Adira), "Penanggung Sepi" (Ain), "RSVP" (Maulana) dan "VIP" (Iwan)

0 ayat cinta: